Sunday 14 October 2012

Doa Tahajjud


Ya Allah, Engkau masukkanlah aku kedalam golongan hamba-hamba Mu yang mendapat kurnia dan ganjaran dari kemurahan Mu dan kurniakanlah kepada aku setiap kebaikan yang ada didalamnya.
 Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa ku, samada dosa yg besar atau yang kecil, samada dosa yang tersembunyi atau yang nyata, samada dosa aku sengajakan atau kerana kejahilan kami. Ya Allah, terimalah taubat ku sebagai taubat nasuha, sesungguhnya Engkau maha pengasih, maha penyayang lagi maha pengampun.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibu bapa ku,ampunkanlah dosa adik beradik ku, ampunkanlah dosa ahli keluarga ku, ampunkanlah dosa guru-guru ku, ampunkanlah dosa sekelian kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat.
Ya Allah Ya Tuhan ku, aku pohon apa yang telah dipohon oleh Rasulullah saw dan aku meminta perlindungan dari apa yang pernah diminta perlindungan oleh Rasulullah saw.
Ya Allah, aku pohonkan syurga tanpa hisab dan berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada ku supaya aku dapat melakukan segala perkara yang boleh membawa aku kearahnya. Selamatkanlah aku Ya Allah dari sebab-sebab yang boleh membawa aku ke neraka.
Ya Allah Ya Tuhan ku, Engkau sahajalah yang mengetahui segala kelemahan diri ku zahir dan batin, berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada ku, supaya aku dapat memperbaiki diri ku, tambahkanlah Ya Allah kepada ku ilmu, iman dan amal, hidupkanlah aku dalam Islam dan matikanlah aku dalam Islam…
Ya Allah Ya Tuhan ku, aku pohon kepada Engkau iman yang sempurna, ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang halal, keluarga yang bahagia, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, keselamatan di dunia ini dan di akhirat nanti.
Ya Allah Ya Tuhan ku, Engkau sajalah yang mengetahui segala yang terbuku dihati ku, hidupkanlah hati ini dan sampaikanlah hati ini kepada Engkau, sembuhkanlah segala penyakit yang berada di hati ku, selamatkanlah hati ku ini dari sifat-sifat yang keji dan jauhilah aku dari perkara-perkara yang boleh mematikan hati ku.
Ya Allah, jadikanlah hati ku ini hati yang sentiasa menyedari akan hakikat KetuhananMu dan KerajaanMu dan masa depan ku di akhirat nanti.
Ya Allah, jadikanlah aku ini hamba Mu yang mengabdikan diri kepada Engkau dengan sebaik-baiknya, berikanlah kekuatan, taufik dan hidayah kepada ku supaya aku dapat melakukan segala apa yang Engkau perintahkan dan meninggalkan segala apa yang Engkau larang.
Ya Allah, jadikanlah hati ku ini hati yang sentiasa menyedari masa depan ku di akhirat nanti dan jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan ku selepas mati...
Ya Allah, Engkau hidupkanlah aku dalam iman dan matikanlah aku dalam iman, selamatkanlah iman ku dari segala gangguan syaitan semasa aku menghembuskan nafas yang terakhir.
Ya Allah, selamatkanlah aku semasa berada di dalam kubur, jadikanlah kubur ku salah satu taman dari taman-taman Syurga, selamatkanlah aku ya Allah dari segala sengsara azab kubur dan jangan Engkau jadikan kubur ku itu salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.
Ya Allah, selamatkanlah aku semasa dalam perjalanan menuju Mahsyar. Selamatkanlah aku ya Allah semasa berada di Padang Mahsyar dan masukkanlah aku ke dalam  golongan orang yang mendapat bayangan naungan ‘Arasy Mu.
Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa ku dan maafkanlah kesilapan ku zahir dan batin. Semasa aku dijalankan hisab, hisabkanlah aku ya Allah dengan hisab yang paling ringan, berilah peluang kepada ku untuk mendapat syafaat nabi ku Nabi Muhammad saw.
Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini hamba yang berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amalan dengan tangan kanan.
Ya Allah, berilah kesempatan kepada ku meminum air dari telaga  al Kauthar, selamatkanlah aku ya Allah semasa menyeberangi titian Siratulmustaqim.
Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam Syurga Mu, bersama-sama orang-orang yang memasuki ke dalamnya.
Ya Allah, perkenankanlah permohonan ku ini ya Allah, mustajabkanlah doa ku ini dengan berkat nabi ku Nabi Muhammad saw dan dengan berkat amalan ku yang  ikhlas.
Ya Allah, Jadikanlah aku dari kalangan hamba-hamba Mu yang sentiasa redha dengan ketetapan Mu, sentiasa bersyukur diatas setiap nikmat pemberian Mu  dan sentiasa bersabar diatas setiap ujian Mu sehingga aku tidak meminta Engkau segerakan pekara yang Engkau kemudiankan dan tidak pula aku meminta Engkau kemudiankan pekara yang Engkau segerakan.
 Ya Allah, janganlah Engkau bebankan aku dengan ujian Mu yang aku tidak mampu memikulnya. Ampunkanlah aku, rahmatilah aku dan kasihanilah aku.

Ya Allah, Engkau tetapkanlah I’tikad ku bahawa
Allah Tuhan ku.
Muhammad itu utusan Allah dan nabi ku
Islam itu agama ku
Al-Quran itu panduan dan ikutan ku
Kaabah itu kiblat ku
Sembahyang itu kewajipan ku
Sekelian orang Islam itu saudara ku
Saiyidina Ibrahim itu bapa agama ku
Hidup dan mati ku atas kalimah لآ اله الا الله

Ya Allah, sesungguhnya, dari Engkau aku datang dan kepada Engkau aku akan dikembalikan
 Sesungguhnya aku mengaku bahawa mati itu benar, masuk kedalam lubang kubor itu benar, bertemu munkar dan nakir itu benar, soal kubor itu benar, ditimbang amal baik dan amal jahat itu benar, nikmat dan seksa kubor itu benar, syurga dan neraka itu benar serta hari kiamat itu pasti datang
 Ya Allah, pada Engkau aku serahkan hidup dan mati ku. Engkau lah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.


No comments:

Post a Comment